Wednesday, August 13, 2008

Khalid hina UiTM, orang Melayu’

PUTRAJAYA 11 Ogos – Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin menyelar Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana sanggup menggadaikan hak keistimewaan orang Melayu dengan mengemukakan cadangan supaya kuota pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) dibuka kepada bukan bumiputera.

Menyifatkan saranan tersebut sebagai populis dan bertujuan memancing sokongan bukan Melayu, beliau berkata, cadangan berkenaan juga satu penghinaan kepada orang Melayu, bumiputera dan institusi pengajian itu sendiri.

“Dia (Abdul Khalid) bercakap soal kecemerlangan dan persaingan. Apakah persaingan antara pelajar UiTM sedia ada tidak cukup sengit? Apakah orang Melayu tidak boleh bersaing sesama dengan Melayu. Kena masuk orang Cina, baru Melayu tahu hendak bersaing.

“Saya juga tidak percaya hanya kerana UiTM menghimpunkan pelajar Melayu dan bumiputera, ia membawa kepada perpecahan dalam masyarakat.

“Kalau dia (Abdul Khalid) kata hendak melahirkan perpaduan dengan bercampur orang India dan Cina, mengapa bermula di sini, di UiTM? Dia sepatutnya mencadangkan hanya ada satu sekolah (untuk menggalakkan perpaduan). Dan ia mesti bermula di peringkat sekolah rendah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Abdul Khalid mencadangkan 10 peratus daripada jumlah semasa kuota pelajar di UiTM dibuka kepada bukan bumiputera serta pelajar asing.

Menurutnya, pelaksanaan cadangan itu akan dapat meningkatkan kualiti pendidikan dan persaingan di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tersebut.

Khaled menegaskan, cadangan Abdul Khalid itu hanya satu politik murahan yang sanggup menggadai perkara yang diwujudkan untuk memelihara kedudukan dan kepentingan Melayu serta bumiputera.

Dalam aspek ini, beliau memberi jaminan kerajaan akan terus melindungi hak-hak orang Melayu dan bumiputera seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak sesekali tunduk kepada desakan populis itu.

“Jadi, saya memberi jaminan kepada semua pejuang yang telah mewujudkan UiTM bahawa selagi saya menjadi Menteri, kedudukan UiTM akan kekal,” katanya.

Khaled berkata, cadangan membuka kuota pengambilan itu bukan sahaja tidak wajar malah tidak munasabah untuk dilakukan jika kedudukan UiTM hari ini diambil kira.

“Kalau kita lihat statistik enam bulan selepas tamat pengajian untuk tiga tahun kebelakangan ini, seramai 81 peratus siswazah UiTM dapat pekerjaan. Ini adalah lebih baik daripada sesetengah universiti.

“Begitu juga purata siswazah yang belum dapat kerja selepas tiga bulan tamat belajar. Biasanya pada kadar 24.9 peratus tetapi hanya UiTM 19.1 peratus dan bilangan itu adalah antara yang terbaik sekali dalam institusi pengajian tinggi awam dalam negara,” katanya.

Beliau berkata, kementerian mempunyai pelan jangka panjang di bawah Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara untuk memastikan institusi itu terus meningkat kecemerlangannya.

Menurut Khaled, UiTM adalah satu pendekatan kerajaan membina kekuatan orang Melayu dan bumiputera dengan meningkatkan kualiti pendidikan supaya mereka dapat bersaing dan tidak tercicir berbanding kaum lain.

Hari ini, katanya, orang Melayu dan bumiputera masih belum berada pada kedudukan yang mampu menyaingi kaum lain.

“Tindakan membuka UiTM akan melambatkan lagi proses menyusun masyarakat, mengimbangi keciciran atau kekurangan di antara bumiputera dan bukan bumiputera. Langkah ini tidak akan menyelesaikan masalah,” katanya.

=petikan dari pada utusan malaysia 12 ogos....

Related Posts by Categories



1 comment:

i'm not normal said...

kat dlm akhbar 2 smue nyer x btul la.. isu 2 da jd isu politik... smue nyer adalah salah wartawan krne memutar-belitkan crite yg sbenar nye.. P.E.A.C.E

Related Posts with Thumbnails